FORGOT YOUR DETAILS?

UNDANG NANING

Peneroka Awal

Kumpulan keluarga yang mula-mula sampai dan meneroka Naning adalah seperti berikut[1]:-

1) Kumpulan keluarga Nan Bogajah Tungga
2) Kumpulan keluarga Semelenggang
3) Kumpulan keluarga Tiga Batu
4) Kumpulan keluarga Mungka
5) Kumpulan keluarga Anak Melaka

Asal Usul Nama

Nama Naning dikatakan diambil bersempena satu sarang Naning (binatang penyengat yang bisa) bercorak kuning terus yang ditemui di atas pulau tiga buah sejanjar yang dikenali sebagai Pulau Galang Tiga Sejanjar yang terletak di sebuah paya di Taboh.

Naning Jatuh ke Tangan Penjajah

Perang Naning-Inggeris 1831 merupakan diantara peperangan yang terkenal dalam sejarah Malaysia kerana perang ini merupakan sebuah titik permulaan kebangkitan semangat nasionalis dalam diri anak-anak Melayu menentang penjajahan Barat. Kehebatan Naning dalam menggempur kehadiran penjajah menjadikan namanya sehingga hari ini masih diingati dan sentiasa menjadi buah mulut anak bangsa. Secara faktanya, Naning merupakan negeri Melayu pertama yang membuat kebangkitan untuk memerangi kuasa Inggeris di Melaka setelah bertapak semenjak 1795 dan mendapat kemenangan atas peperangan yang dilancarkan.

Namun demikian, Naning bukanlah kali pertama berperang dalam menentang kuasa penjajahan asing tetapi sudah menjadi kebiasaan orang Naning untuk mempertahankan negeri Melayu daripada dijajah. Berdasarkan tradisi lisan, banyak kisah-kisah perang yang dilalui orang Naning sepanjang perjalanan sejarahnya dan kebanyakan kisah ini tidak diketahui dan dikaji oleh sarjana terdahulu. Secara umumnya, pembukaan Naning pada pertengahan abad ke-14 menjalinkan pelbagai peristiwa penting dalam perkembangan sejarahnya. Politik Naning juga tidak lekang dengan episod berdarah iaitu kisah-kisah perperangan yang pernah terjadi semasa pemerintahan penghulu-penghulu Naning.

Hal ini demikian kerana, orang Naning atau orang ulu terkenal dengan sikapnya yang berani sehinggakan nama Naning menjadi kegerunan dalam kalangan negeri jiran dan penjajah asing. Menurut cerita yang diperturunkan dalam masyarakat Naning, di awal pembukaan Naning iaitu zaman pemerintahan Datuk Perpatih Nan Sebatang sendiri telah berlakunya peperangan diantara Naning dengan musuh negeri. Dikhabarkan Naning pernah berperang dengan angkatan tentera daripada negeri Siam, Bugis, Portugis, Belanda dan Inggeris. Sehubungan itu, Naning merupakan antara negeri Melayu yang kerap berperang dengan kuasa-kuasa asing terutamanya kuasa penjajahan Barat.

Naning telah jatuh ke tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris pada bulan Jun 1832 apabila Taboh telah ditawan dan pasukan di bawah pimpinan Undang Naning ke-9, Dato’ Abdul Said bin Omar (dikenali juga sebagai Dol Said) telah berundur setelah berlaku beberapa pertempuran dengan pihak Inggeris selama lebih kurang 2 bulan.[3] Setelah itu, Naning pun dimasukkan di bawah pentadbiran wilayah Melaka pada tahun 1833. Perang Naning-Inggeris merupakan sebuah peristiwa peperangan yang paling terkenal di dalam sejarah Malaysia sebagai sebuah perintis kepada gerakan awal kebangkitan semangat nasionalis menentang penjajahan Inggeris.

Kebangkitan ini dilihat menjadi tular sehinggakan berlakunya pemberontakan yang bertali arus di negeri-negeri Melayu yang lain seperti Perak, Pahang dan di bahagian kawasan Pantai Timur. Namun begitu, peperangan ini dilihat menjadi medan pertembungan intelektual dan pemikiran kumpulan sarjana Barat dengan kebudayaan orang tempatan. Pihak Inggeris menjadikan bidang keilmuan sebagai wadah bagi mempertahankan tindakan mereka untuk menguasai Naning dan memberikan pelbagai alasan untuk menghalalkan kaedah yang digunakan. Justeru, munculnya penulisan yang tidak bersifat berkecuali kerana rujukan yang digunakan kebanyakan sarjana terdahulu adalah daripada kertas laporan pihak Inggeris.

TOP